Apa yang perlu dilakukan jika anda sakit atau cedera di Jepun

Bagi masalah biasa seperti demam, selesema ataupun simptom alahan, anda mungkin ingin membeli ubat terus dari farmasi (lihat bawah). Jika anda fikir mahu berjumpa doktor, ikuti langkah-langkah berikut.

Sebelum menggunakan kemudahan perubatan di Jepun, penting untuk mengetahui perkara-perkara berikut
  • Sekiranya anda tidak mempunyai insurans kesihatan awam Jepun, anda perlu membayar keseluruhan kos rawatan
  • Sekiranya anda mempunyai insurans kesihatan kembara, anda perlu membayar terlebih dahulu kos rawatan, kemudian anda boleh memohon bayaran balik dari syarikat insurans anda
  • Kebanyakan kemudahan perubatan hanya menerima wang tunai. Sekiranya anda ingin membayar menggunakan kad kredit, periksa samada mereka menerimanya terlebih dahulu
  • Tiada pengamal perubatan umum (GP) di Jepun. Anda hendaklah memilih doktor pakar / khusus untuk penyakit anda semasa lawatan anda

1. Cari hospital atau klinik

Carilah hospital yang boleh berkomunikasi dalam bahasa Inggeris

  1. Telefon salah satu nombor tersebut atau cari di laman web Talian Hotline Rujukan Perubatan
  2. Tanya staf hotel atau pemandu pelancong
  3. Sekiranya anda mempunyai insurans kesihatan kembara, hubungi syarikat insurans anda untuk mendapatkan maklumat tentang kemudahan yang anda boleh gunakan.

2. Kaunter Penyambut Tetamu dan Konsultasi

Tempat yang pertama anda akan tuju setelah berjumpa klinik atau hospital yang sesuai adalah kaunter penyambut tetamu.

  1. Terangkan tujuan lawatan anda
  2. Tunjukkan kad insurans kesihatan Jepun anda. Sekiranya tiada, anda akan diminta mengesahkan kefahaman anda bahawa anda akan membayar keseluruhan kos rawatan tersebut.
  3. Sekiranya anda ingin membayar menggunakan kad kredit, dan khidmat tersebut disediakan, anda akan diminta menyerahkan kad anda.
  4. Isi borang disediakan menjelaskan simptom dan sejarah perubatan anda
  5. Serahkan borang tersebut dan tunggu nama anda dipanggil. Bagi kemudahan yang tiada perkhidmatan temu janji, pesakit akan dipanggil mengikut giliran.
  6. Pergi ke bilik rawatan yang dipinta, dan bercakaplah dengan doktor.
  7. Jalankan sebarang ujian atau rawatan yang diperlukan.
  8. Sekiranya ubat diperlukan anda akan diberi preskripsi.

3. Pembayaran

Selesai pemeriksaan, anda akan diminta membuat pembayaran bagi konsultasi dan sebarang rawatan atau ujian yang telah anda jalani. Hospital yang besar akan mempunyai kaunter pembayaran asing, manakala kemudahan yang kecil akan menerima pembayaran di kaunter penyambut tetamu sahaja. Sekiranya anda mempunyai insurans kesihatan awam Jepun, anda hanya perlu membayar 30% sahaja dari keseluruhan kos rawatan. Jika tiada, anda perlu membayar keseluruhan kos. Sekiranya anda mempunyai insurans kesihatan kembara, mintalah borang yang membolehkan anda memohon pembayaran balik dari syarikat insurans anda.

4. Mengambil preskripsi

Prosedur untuk mendapatkan preskripsi agak berbeza-beza bagi setiap hospital. Terdapat hospital atau klinik yang akan memberikan ubat secara terus, dalam kes begini, anda akan terus membayar upah konsultasi dan harga ubat. Tetapi dalam kebanyakan kes, anda akan diberi preskripsi dan ditunjukkan farmasi berdekatan di mana anda boleh mengambil ubatan dan membayarnya terus kepada farmasi tersebut.